Tuesday, June 8, 2010

Doa Majlis Makan Malam


الحمد لله الذي هدانا لهذا وماكنا لنهتدي لولا أن هدانا الله ، والصلاة والسلام على سيد الأنام بلغ الرسالة ونصح الأمة وكشف الغمة .
Ya Allah , Ya Karim Ya Wadud ,

Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk berada dan menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup 2010 pada malam ini.

Ya Allah , Tuhan Yang Berkuasa Melaksanakan apa yang dikehendakki ,

Jadikanlah hari-hari yang kami lalui dimulai dengan rahmat-Mu , pertengahannya barakah , dan disudahi dengan keampunan-Mu . Dan juga jadikanlah hari-hari yang kami lalui permulaannya hidayah , pertengahannya kemenangan dan diakhiri dengan kecemerlangan .

Ya Allah , Tuhan Yang Maha Esa lagi Perkasa

Kami memohon kehadrat-Mu semoga Engkau jadikan majlis ini sebagai satu wadah untuk kami bersatu-padu , bekerjasama dan bantu-membantu di kalangan kami dan juga demi membangunkan dan memartabatkan sekolah kami di persada arus perdana kecemerlangan pendidikan negara.
Satukanlah hati-hati kami sebagai pentadbir , para pendidik , kakitangan sekolah dan ibu bapa pelajar di sekolah ini, agar menjadikan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak didik kami sebagai matlamat kami yang utama dan bersama .
Amin Ya Rabbal’alamin

Ya Allah , kurniakanlah kepada kami Iman yang teguh,mantap dan kukuh demi menghadapi cabaran-cabaran hidup semasa dan dalam mengharungi pancaroba hidup alaf baru .

Ya Allah tunjukkanlah kami taufiq dan hidayah jalan yang benar dan cara-cara melaksanakan serta menghayatinya.Jadikanlah kami insan yang suka mendengar kebaikan lantas melakukannya , begitu juga jadikanlah kami insan yang apabila mengetahui keburukan lantas bersegera meninggalkannya .

Ya Allah , jadikanlah pertemuan kami ini sebagai pertemuan yang diberkati dan dirahmati . Dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau pelihara daripada mara bahaya dan keburukan.

ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار والحمد لله رب العالـمين

No comments:

Post a Comment